Roh yang ada di dalam diri kita ini
terlalu abstrak (seni). Sifatnya sensitif, selalu berubah- ubah, sekejap baik
dan sekejap jahat. Perubahan ini berlaku terlalu cepat sekali sehingga susah
untuk kita mengesannya. Ini menyebabkan banyak sifat-sifat yang baik telah
terabai dan sifat-sifat yang buruk (jahat) dibiarkan bermaharajalela dalam diri
sama ada disengaja atau tidak, disedari atau tidak.
Sifat-sifat roh terbahagi kepada dua
iaitu:
1. Sifat-sifat mahmudah (sifat positif
atau sifat-sifat yang baik)
2. Sifat-sifat mazmumah (sifat negatif
atau sifat-sifat yang keji)
Pertama:
Sifat-sifat mahmudah
antaranya:
a) jujur
b) ikhlas
c) tawadhuk
d) amanah
e) taubat
f) sangka baik
g) pemaaf
h) pemurah
i) syukur
j) zuhud
k) tolak ansur (timbang rasa)
l) sabar
m) redha
n) berani
o) lapang dada
p) lemah lembut
q) kasih sayang
r) selalu ingat mati
s) tawakal
t) takut Allah
Kedua:
Sifat-sifat mazmumah
di antaranya:
a) riyak
b) ujub
c) sum’ah
d) takabur atau sombong
e) hasad dengki
f) pemarah
g) dendam
h) bakhil
i) penakut
j) cinta dunia
k) gila pangkat
l) gila puji
m) jahat/buruk sangka
n) putus asa
o) tamak
Sifat keji ini
hendaklah dihapus dan ditumpaskan daripada bersarang di hati kita. Kalau
perkara ini tidak dikaji dan diteliti, sudah tentu tidak diketahui. Kikiskanlah
dengan menanam rasa takut hanya pada Allah. Rasakanlah Allah Maha Berkuasa,
Maha Besar dan Allah-lah Maha Kuat dan Maha Gagah daripada segala-galanya.
Semua makhluk ini sama-sama lemah di sisi Tuhan yang Maha Perkasa itu. Kalaupun
makhluk itu kuat atau berkuasa, hanya kerana dia diberi nikmat yang lebih
sedikit saja daripada orang lain. Tetapi dia tetap lemah dan tetap dalam kuasa
Tuhan yang Maha Berkuasa. Allah telah mendidik kita agar hanya pada-Nya kita
wajib takut dan menghinakan diri. Ini kerana Allah-lah yang Maha Mencipta, Maha
Menganugerah, Maha Pemberi, Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan. Allah-lah
yang mengadakan dan mentiadakan sesuatu. Allah-lah yang menentukan nasib
makhluk. Allah-lah yang muassir (memberi bekas). Selain-Nya semuanya tidak
lebih gagah, tidak lebih besar dan tidak memberi bekas apa-apa. Walaupun
makhluk itu lahirnya kita nampak besar dan hebat, gagah dan berkuasa tapi
hakikatnya semua makhluk itu tetap dalam genggaman Allah SWT. Hanya empat sifat
mazmumah saja yang kita kaji secara terperinci di sini, yang merupakan
sebahagian daripada sifatsifat mazmumah yang banyak itu. Perlu diingat juga
bahawa sifat-sifat yang jahat ini semuanya sudah wujud bersama lahirnya tubuh
kasar. Rasa-rasa itu tidak perlu dipelajari dan tidak ada guru yang
mengajarinya. Cuma waktu kecil ia tidak subur. Tetapi ia ikut dewasa bersama
dewasanya tubuh kasar. Oleh itu benih-benih sifat mazmumah dalam hati ini mesti
dikenal pasti di awal-awal lagi.
Dengan menggunakan teropong mata hati dengan dibantu oleh ilmunya, sifat-sifat jahat ini mesti ditumpaskan dan dikikisbuangkan melalui proses mujahadatunnafsi.Barulah sifat mazmumah ini dapat dikekang dan dikosongkan, yang akhirnya sifat mahmudah dapat diisi dalam hati.
Di sinilah pentingnya mengkaji dan mengesan sifat-sifat roh (hati). Supaya setelah kedua-duanya dikesan, yang mahmudahnya dapat disuburkan dan yang mazmumahnya dapat dihapuskan. Barulah manusia itu kembali kepada hakikat dirinya. Yakni hakikat manusia itu sendiri. Ini kerana nilai diri manusia itu adalah pada sifat roh (hati)nya. Ia jadi penentu yang mencorak kehidupannya dan manusia seluruhnya.
Roh ini dikekalkan untuk ditanya dan dipertanggungjawabkan di Akhirat nanti. Roh inilah yang mukalaf. Ia yang akan merasai nikmat atau azab. Roh inilah juga yang akan ke Syurga.
No comments:
Post a Comment